Assalamualaikum semua. Sepanjang hidup saya tidak pernah bercinta atau bercouple dengan mana-mana lelaki pun.
Saya tidak pernah bermesraan melebihi hanya sebagai seorang sahabat kepada semua rakan lelaki saya.
Mahu katakan sebagai orang yang betul-betul menjaga ikhtilat tidak juga. Saya terbuka kepada perhubungan.
Tipu kalau katakan tak pernah teringin untuk merasakan bercinta dan dicintai oleh lelaki.
Usia pun sudah menghampiri 30tahun. Tengok adik-adik sekolah menengah pun dah bercinta kemain sweet lagi di Instagram kan, manalah kakak yang umur hampir 3 siri ini tak rasa keinginan yang sama.
Saya ada beberapa sahabat baik lelaki, yang saya boleh kongsi apa sahaja dengan mereka. Tapi cuma terbatas sebagai seorang sahabat tidak lebih dari itu.
Boleh dikatakan, Allah yang menjaga saya supaya tidak bercinta sebelum kawin. Tapi tipulah kalau kata tidak pernah suka sesiapa pun sepanjang hidup inikan.
Saya ada sukakan seorang lelaki sejak 10 tahun dulu. Saya suka dia waktu kali pertama nampak dia. Tapi dia tak kenal saya pun waktu tu.
Orang kata kalau inginkan sesuatu kena usaha. Jadi saya berusaha untuk mengenali dia dengan lebih dekat dan buat dia sedar kewujudan saya.
Saya pernah confess pada dia beberapa kali. Sebab jawapan dia, jawapan atas pagar yang tidak menerima dan tidak pula menolak maka hati saya kata tetap sahaja setia menanti.
Menantilah saya tapi tidaklah juga dengan penuh pengharapan kerana saya tahu yang menghancurkan kita adalah harapan.
Dalam menanti, saya berdoa jika jodoh dia dengan orang lain maka temukan dia dahulu dengan jodohnya supaya saya tidak perlu memilih lagi antara dia dan jodoh saya nantinya.
Hari ini Allah makbulkan doa saya. Dia sudah berjodohan dengan orang lain. Wanita yang saya tidak kenali dan juga saya tidak tahu bilakah perhubungan mereka bermula.
Paling saya terkilan adalah saya hanya tahu dia sudah berkahwin apabila saya buat carian nama dia dan terjumpa gambar nikah dia yang di post oleh orang lain.
Kenapa dia lansung tidak mahu beritahu saya tentang pernikahannya sedangkan kami masih berhubung sebelum dan selepas dia bernikah.
Saya masih mesej dia untuk perkara yang tidak penting-penting sebab cuma ingin berbual dengan dia.
Sekarang saya rasa macam diperbodohkan dan juga ada rasa bersalah pada isteri dia.
Perempuan bila sudah curious semua benda dia boleh cari.
Hari ini saya stalk isteri dia dan Kami terlalu banyak persamaannya dari segi minat menulis, genre lagu dan jiwa halus. Mungkin perbezaannya cumalah dia lebih menarik rupa parasnya dari saya.
Dan paling saya rasa related dengan isteri dia adalah, isteri dia juga pernah mengalami perkara yang sama dengan saya. Sama-sama menunggu orang yang tidak akan kami dapat.
Tapi isteri dia lebih bertuah dari saya sebab dia dah dapat seseorang yang telah lama saya tunggu dan takkan pernah saya miliki.
Terima kasih atas pengalaman ini. Rahsia hati tiada siapa yang dapat mengerti.
Kita memilih untuk menyukai sesuatu yang kita tidak pasti dapat memiliki. Kita menunggu sesuatu yang kita sendiri tahu samar untuk kita dapatkan.
Untuk awak, jangan risau saya sikitpun tidak terasa hati atau menyimpan dendam kerana tiada siapa yang bersalah dalam cerita ini.
Jika ada yang patut dipersalahkan itu adalah saya sendiri kerana saya yang memilih untuk menyukai awak, saya yang memilih untuk menunggu awak dan saya jugalah yang memilih untuk meletakkan sedikit pengharapan.
Semoga bahagia untuk awak dan isteri berkekalan sehingga ke syurga.
Doakan saya bertemu dengan orang yang memilih saya apa adanya..
Terima kasih untuk semuanya.
– Yasmin (Bukan nama sebenar)
Sumber : IIUM Confession – BM