Carilah Harta Dan Jadilah Orang Yang Berharta

Assalamualaikum pembaca IIUM Confession. Nama aku Una (bukan nama sebenar). Berumur 30-an, tinggal di kota raya dan merupakan seorang kakitangan GLC. Masih solo dan tinggal bersama keluarga.

Kisah yang aku nak ceritakan ini tentang ibu saudara, iaitu kakak kepada ibu aku, yang aku gelar sebagai Bonda.

Bonda merupakan ibu tunggal, suaminya meninggal akibat kemalangan kira-kira 10 tahun yang lalu. Bonda mempunyai 3 orang anak dan semuanya sudah berkeluarga.

Hubungan kami sekeluarga menjadi rapat selepas pemergian suami Bonda. Aku masih ingat lagi betapa sedihnya dia, meratap pemergian suaminya. Dia kemurungan berbulan-bulan.

Bonda seorang suri rumah, dan aku tahu itu sangat memberi tekanan kepadanya setelah ketiadaan suami.

Sejak dari hari tu aku berazam di dalam hati untuk cuba gembirakan dia sama seperti aku gembirakan hati ibu dan ayah aku sendiri.

Waktu balik dari pejabat, selalunya aku akan beli makan petang, kuih-muih untuk keluarga dan aku akan belikan juga untuk Bonda. Walaupun jarak rumah kami jauh tapi aku sanggup hantar.

Bila tiba musim raya, dah jadi kebiasaan untuk aku belikan baju raya untuk ibu dan ayah. Aku akan usaha juga belikan baju atau tudung untuk Bonda. Ya lah, hari raya kan, kita nak tengok orang gembira dan tersenyum.

Kalau Bonda teringin nak makan di mana-mana restoran, jarang sekali aku menolak. Aku akan ambil dia di rumah, bil makan aku bayarkan, dan hantar dia pulang ke rumah dengan selamat.

Dari apa yang aku ceritakan ni, kalian mesti boleh agak yang aku jenis tak berkira dengan keluarga. Yes, anything for my family.

Kegembiraan keluarga adalah kebahagiaan aku.

Cuma aku perasan sikap Bonda makin lama makin berubah. Perubahan ni bermula dari tahun lepas.

Ada satu hari tu Bonda ajak aku pergi kedai baju kesukaan dia di Bangi. Bukan kedai baju biasa tapi butik. Katanya dia ada tengok seorang professor di kaca televisyen pakai baju tu, dan dia tertarik untuk beli. Aku menurut sahaja.

Sampai sahaja di sana, kami habiskan masa kira-kira 1 jam untuk Bonda pilih baju kesukaan dia. Sekejap nak yang itu, kemudian nak yang ini pula. Aku ada beritahu Bonda yang baju-baju di sini agak mahal harganya. “Takpa”, itu sahaja respond dia.

Waktu nak bayar, tertera jumlah bagi 3 helai baju menghampiri RM600. Bonda minta aku bayarkan dulu, katanya dia lupa untuk keluarkan cash. Online banking dia tak reti guna.

Untuk pendekkan cerita, aku swipe kad aku dahulu memandangkan ramai yang beratur di belakang.

Lepas keluar dari butik aku terus ajak Bonda ke bank berdekatan untuk keluarkan duit. Bukan sahaja untuk gantikan duit aku, tapi juga untuk simpanan dia. Bahaya kalau-kalau ada kecemasan tapi langsung tiada tunai di tangan.

Sampai sahaja di bank, belum sempat aku keluar dari kereta, tiba-tiba Bonda istighfar dengan kuat. Katanya dia memang tak hafal nombor PIN kad bank. Dia hanya rujuk di kertas. Malangnya kertas tu tak dibawa bersama. Tepuk dahi aku masa ni.

Tak mengapalah. Mungkin dia betul-betul tak ingat. Aku hanya pesan kalau dah ada duit nanti boleh la bayar hutang tu. But something unexpected is dia tanya aku balik, besar sangat ke RM600 untuk orang yang gaji RM6k macam aku.

Aku dah blur masa ni. Aku hanya ketawa bagi menghilangkan rasa awkward. Tiba-tiba suasana bertukar jadi sedih.

Bonda cakap yang dia hanya boleh harapkan aku kalau nak merasa pakai mahal-mahal. Sebab anak-anaknya hanya kerja biasa, duit bulanan yang dia dapat pun cukup makan sahaja.

Bonda nak merasa juga pakai cantik-cantik macam ibu aku. Tambahnya lagi, dari zaman aku belajar sampai lah kerja dia selalu doakan aku dapat kerja besar-besar supaya dia boleh tumpang senang dan tidak merungut dengan rezeki seperti sebelum-sebelum ni.

Boleh bayangkan tak perasaan aku masa ni? Kosong. I have nothing to say. Nak marah rasa tak kena, nak kesian pun macam tak kena juga.

I end up just focus on my driving. Aku biar radio je yang bercakap. Sampai di rumah, Bonda ucap terima kasih sebab spend masa dengan dia.

Dia siap doakan aku dapat jodoh yang baik dan kaya-raya.

Aku drive balik ke rumah dengan perasaan kosong. Sebenarnya aku agak kecewa bila orang rapat dengan aku sebab kepentingan-kepentingan tertentu.

Gaji aku bukanlah besar mana. Dan komitmen aku juga banyak. RM6k but living in KL is merely M40 yang cukup-cukup sahaja. Tidak terlalu kaya dan boleh bermewah-mewah sangat pun.

Lepas beberapa minggu, Bonda menelefon aku. Katanya teringin nak makan di sebuah restoran yang viral. Aku turutkan sahaja. Macam biasa, bil aku yang bayarkan. Lepas makan Bonda ajak jalan-jalan ke shopping mall berdekatan.

Katanya nak tengok kedai kerusi urut sebab badan dia cepat letih dan selalu lenguh-lenguh. Masa ni aku dah tanya siap-siap sama ada dia bawa duit yang cukup atau tidak. Katanya tak bawa duit, sebab hanya nak survey harga.

Sampai sahaja di kedai, salesgirl terus mendapatkan kami untuk explain tentang harga dan fungsi bagi setiap kerusi urut. Setiap model ada fungsi yang berbeza. Makin mahal harganya, makin advance lah fungsi kerusi urut tersebut.

Dan hari itu merupakan hari terakhir mereka menawarkan plan installment (bayaran ansuran bulanan) dengan harga yang agak rendah.

Masa tu hati aku dah rasa tak sedap sebab Bonda nampak berminat betul, sedangkan dia takda simpanan yang cukup untuk beli kerusi urut tu.

Bonda ajak aku keluar dari kedai untuk berbincang. Katanya bulan depan tarikh lahir dia, jadi dia teringin nak dapat kerusi urut tu sebagai hadiah.

Aku cakap terus terang aku tak mampu sebab harganya mahal mencecah RM5k. Jadi dia pujuk aku untuk sign up monthly installment supaya boleh bayar secara bulanan.

Aku stress, tapi masih cuba kawal diri. Aku ajak Bonda balik dan berbincang di rumah. Masa tu dia dah tarik muka.

Begitulah beratnya berurusan dengan orang-orang yang berumur, mereka tak faham betapa sukarnya untuk memenuhi permintaan mereka yang macam-macam itu.

Sampai di rumah, aku minta ibu berbincang dengan Bonda. Ibu aku kenal benar anaknya ini, dia tahu aku tak suka dengan situasi mendesak macam ni. Monthly installment untuk kerusi urut itu sekitar RM300 sebulan. Nampak kecil, tapi ia melibatkan credit record.

Untuk orang yang sangat menjaga aliran tunai macam aku, aku pastikan setiap sen yang dibelanjakan adalah untuk perkara penting dan terkawal risikonya. Kalau dalam tempoh berhutang terjadi apa-apa pada aku, siapa yang akan langsaikan hutang? Keluarga aku?

Situasi di rumah jadi agak tegang. Bonda seperti berjauh hati. Katanya aku memandang ringan masalah kesihatan dia dan sudah tidak pedulikan dia.

Lepas berbincang, ibu bersetuju untuk bayar separuh dan memujuk aku untuk teruskan sahaja bagi mengelak terjadinya masam muka di antara kami.

Aku bagi beberapa syarat dan aku beritahu yang ini adalah permintaan terakhir yang aku boleh tunaikan. Selebihnya dia perlu usaha sendiri.

Aku bukan nak ungkit kebaikan yang aku pernah buat. Tapi beginilah realiti hidup. Apabila kita buat baik dengan ikhlas, orang pula mengambil kesempatan. Diberi susu dibalas tuba.

Aku tak pernah berkira dengan keluarga mahupun saudara-mara. Mereka harta aku dunia akhirat. Tapi bila terjadi perkara macam ni, aku mula berfikir-fikir untuk buat baik.

Aku selalu rasa yang orang akan ambil kesempatan. Mungkin di luar sana ramai yang senasib dengan aku.

Aku sedih dan kecewa dengan apa yang jadi. Untuk yang diluar sana, isteri mahupun ibu tunggal, yang bekerja mahupun yang suri rumah, binalah prinsip hidup agak bermaruah.

Carilah harta dan jadilah orang yang berharta. Tidak perlu sampai kaya-raya, asalkan berharta dan tidak menagih kesenangan dari orang lain. Barulah dihormati manusia sejagat.

Doakan aku.

– Una (Bukan nama sebenar)

Sumber : IIUM Confession – BM