Susahnya Nak Jadi Minimalis

Assalamualaikum wbt. Sedikit pengenalan, saya Siti, umur awal 30an, dah berkahwin dan ada anak seorang.

Saya nak berkongsi perjalanan saya nak menjadi seorang minimalis yang saya rasakan semakin hari semakin sukar. Saya berkahwin tidaklah terlalu awal tapi tidak juga terlalu lambat, mungkin lewat sedikit berbanding rakan sebaya yang lain.

Jadi, waktu bujang saya memang agak lama dan saya sangat-sangat enjoy. Pada waktu itu, saya ada pendapatan yang baik, menetap di tempat yang sangat mudah untuk mendapatkan apa sahaja yang saya nak.

Selepas berkahwin, saya mengikut suami menetap diluar negara untuk beberapa tahun kerana suami bertugas di sana.

Kehidupan yang serba sederhana, agak berbeza dengan kehidupan saya dizaman bujang. Saya tidak lagi mempunyai pendapatan, tapi pendapatan suami mampu menampung kehidupan sederhana kami ketika itu.

Ketika berpindah mengikut suami, saya dapati barang-barang saya sangat banyak dan proses mengemas sangat memenatkan. Saya berazam, selepas berkahwin, saya nak hidup sebagai seorang minimalis. Mujur suami juga sependapat.

Kehidupan kami sangat baik dan gembira. Kami hanya beli apa yang diperlukan, ambil masa berfikir dan berbincang sebelum membeli sesuatu. Baik barangan rumah atau barang peribadi.

Nak beli baju pun, kalau ada baju yang betul-betul lusuh atau koyak yang tak dapat dibaiki, barulah kami beli baju baru.

Lagi pula, rumah sewa di negara yang saya duduki sangat praktikal walaupun kecil sahaja. Semuanya sudah ada tempat sendiri.

Contohnya, tempat letak mesin basuh sudah sedia ada dengan paip, soket dan drain sendiri. Jadi kami tak perlu terlalu memikirkan susun atur rumah.

Perabot juga sangat kurang dan minimal. Meja makan hanya dua kerusi. Tak perlu yang besar, kerana kami tidak selalu menerima tetamu.

Keluarga jauh di Malaysia. Rakan-rakan senegara juga lebih suka bertemu sambil beriadah dan jalan-jalan di luar.

Kadang kala ada juga masa-masa kami menjemput tetamu datang makan-makan, tapi semua pun tak kisah duduk makan di lantai sahaja.

Tak ada siapa yang judge kenapa tiada kerusi, kenapa tiada sofa, dan sebagainya.

Kemudian, tiba masa kontrak kerja suami di luar negara tamat. Kami pulang ke Malaysia dan suami bekerja berdekatan dengan kampung halamannya.

Saya hanya mengikut ke mana sahaja suami pergi dan mencari kerja di sini. Rumah sewa kami tidak jauh dari rumah mertua dan saudara mara suami.

Keluarga mertua memang gembira dengan kepulangan keluarga kami. Kami juga gembira, tapi, ada satu hal yang saya rasakan serabut dan agak memenatkan untuk diuruskan apabila sudah menetap di Malaysia, iaitu kehidupan kami.

Kenapa serabut? Sebab saya dah selesa dengan kehipan minimalis diluar negara.

Bila balik Malaysia dan pindah ke rumah sewa, ada saja tangan-tangan yang nak menambah itu ini di rumah kami, ada saja mulut-mulut yang nak komen dan arah itu ini berkenaan kehidupan kami.

Pada kehidupan sebagai minimalis, kami memang berhati-hati untuk membeli barangan rumah supaya tidak berlaku pembaziran.

Contohnya nak beli pinggan sekalipun, kena lihat praktikaliti, perlu ada tempat di mana ia perlu disimpan, sesuai tak dengan tema keseluruhan rumah, dan sebagainya.

Tapi bila datang saudara mara, “Kenapa sikit sangat pinggan. Tak cukup” padahal dah disediakan pinggan kertas ketika tetamu yang hadir melebihi jumlah pinggan dirumah kami.

“Kenapa beli meja makan 4 kerusi. Nanti orang datang nak duduk mana. Beli yang 6 kerusi baru cukup”. “Sofa beli lah yang satu set. Kalau yang 2 seaters ni takde tempat tetamu nak duduk nanti”. Penatnya nak hadap. Rumah saya, kenapa orang lain sibuk nak tetapkan?

Belum lagi keluarga mertua yang rajin membawa itu ini ke rumah. Bila datang rumah dan tengok rumah saya tiada penyapu (saya guna handheld vacuum je), dibelinya penyapu dan terus letak di rumah saya pada lawatan berikutnya.

Masalahnya, nak letak mana? Ada sebab saya tak beli walaupun orang lain nampak itu keperluan, tapi tidak bagi saya. Saya tak perlukan sebab tu saya tak beli.

Bukan tu je, banyak lagi benda-benda yang tak digunakan di rumahnya nak disumbat di rumah saya.

Periuk nasi yang meraka tak guna (padahal kami dah beli yang sesuai dengan isi rumah kami), pinggan mangkuk cawan sudu garpu pisau, tilam toto, dan lain-lain yang akhirrnya memenuhkan bilik belakang tanpa digunakan pun semua barang-barang tu.

Mungkin ramai yang akan cakap saya tak bersyukur. Bukan begitu. Saya bersyukur ada keluarga mertua yang baik dan pemurah. Tapi, tak boleh ke kami decide untuk kehidupan keluarga kecil kami sendiri?

Saya ada bincang dengan suami, tapi suami pun buntu. Tak tau nak cakap macam mana kepada mak ayahnya. Yelah, dia pun kena jaga hati orang tuanya juga. Mereka dah la teruja ada anak cucu yang duduk berdekatan sebab anak-anak yang lain semuanya menetap di negeri lain.

Mesti perlu jaga hubungan baik kan. Tak nak lah ada yang terasa hati jika ditegur tak perlu bawa itu ini ke rumah kami.

Berkenaan kain baju pula. Masa duduk di luar negara, tiada siapa judge kalau raya tiap tahun kita pakai baju raya yang sama. Yang lama elok lagi. Kenapa nak bazir beli baru kan.

Balik Malaysia, “Bukan dah pakai ke baju ni tahun lepas?” “Kenapa tak sedondon satu family?” Belum lagi baju tema khas untuk kenduri kendara. Beli baju fashion canggih-canggih, pakai sekali masa kenduri tu je. Lepas tu tak pakai dah.

Membazirnya! Dahla harga pun tak murah (walaupun harga bukanlah masalah terbesar kerana kami dua-dua bekerja dan mampu, cuma tulah membazir tak baik kan). Kalau tak ikut tema, rasa bersalah pula.

Dah keluarga kan mesti nak baju bertema sedondon sama semuanya, nak-nak pada zaman semuanya dikongsi di sosial media ini.

Sebut pasal kenduri, doorgift-doorgift kenduri. Saya bukan nak halang orang nak memberi hadiah kepda tetamu yang hadir kenduri, tapi kadang-kadang dapat sesuatu yang akan semakkan rumah (atau worse, jadi sampah.

Sangat tak elok untuk alam sekitar untuk jangka masa panjang). Hiasan-hiasan seramik, hiasan-hiasan kayu, bekas-bekas kecil untuk letak gula-gula semua tu. Serabut betul. Nak buang rasa bersalah, tak ambil pun rasa bersalah.

Masalah ni bukan lah besar sangat. Cuma nak berkongsi dengan pembaca dan kalau ada sesiapa yang ada pengalaman dengan kehidupan minimalis dan cara menguruskannya, boleh la share di ruang komen. Saya sangat hargai komen-komen yang praktikal.

Terima kasih.

– Siti (Bukan nama sebenar)

Sumber : IIUM Confession – BM