Bukan Bahan Gurauan

Salam semua. Aku perkenalkan diri sebagai M. Dah berumah tangga hampir 11 tahun. Ada anak sepasang. Lelaki 9 tahun dan perempuan 6 tahun.

Masalah aku sekarang ni adalah ibu mertua aku yang suka pegang private part anak lelaki aku.

Memang anak aku sejak dari kecil lagi dilayan begitu oleh nenek dia. Dah menjadi aktiviti kegemaran nenek dia tiap kali jumpa anak aku.

Mula dulu aku rasa pelik dan rimas sebab aku tak biasa tengok perilaku sebegitu dalam kalangan keluarga aku.

Dulu anak aku masih kecil. Masih tak faham apa-apa. Tapi sekarang anak aku dah besar ibu mertua masih lagi nak buat macam tu.

Aku buntu fikir macam mana nak tegur orang yang dah berusia tambahan lagi dia ibu mertua aku.

Nak luahkan dekat suami pun risau suami terasa hati. Kadang cara pemikiran mereka pun tak sama macam kita ni.

Mungkin benda tu biasa je bagi mereka. Mungkin mereka rasa tu cuma gurauan manja nenek dengan cucunya. Tapi bagi aku perbuatan tu sangat memberi kesan negatif terhadap anak aku.

Aku mula risau bila mana aku ternampak anak aku pun dah mula suka pegang-pegang dia punya ‘private part’.

Dah berkali-kali aku tegur anak aku. Kadang nampak dia dalam bilik gelap sorang-sorang londehkan seluar hanya suka-suka untuk tengok dia punya private part tu.

Benda ni buat aku semakin risau. Sebab dia anak aku. Anak aku yang semakin membesar. Apa yang jadi kat anak aku, aku yang akan tanggung.

Kadang tu aku terpaksa ingatkan anak aku supaya jauhkan diri dari nenek dia. Tapi apalah daya dia nak tolak bila nenek dia selalu panggil dia duduk dekat.

Aku nampak kasih sayang antara mereka berdua. Tapi aku cuma tak suka private part anak aku dibuat bahan gurauan. Macam-macam benda negatif aku terfikir.

Jadi aku nak minta pendapat semua. Harap ada yang sudi bagi pendapat untuk aku selesaikan masalah ni. Terima kasih semua.

– M (Bukan nama sebenar)

Sumber : IIUM Confession – BM